PENDUDUK, Razali Hassin melihat bahagian atas corong kepok kera yang diperbuat daripada tong.


Kuala Berang: Serangan kera yang memusnahkan tanaman mendorong penduduk Kampung Peneh, di sini, membina perangkap yang lebih popular dalam kalangan penduduk dengan panggilan kepok kera bagi menangkap haiwan itu sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

Penduduk, Marzuki Mohd, 38, berkata, fungsi kepok kera tidak ubah seperti sebuah bubu walaupun bentuknya lain, tetapi cara pembinaannya sama kerana ia mempunyai corong dan haiwan yang memasuki perangkap itu tidak dapat keluar.

Katanya, corong dibina di bahagian atas kepok menggunakan tong yang ditebuk bagi membolehkan kera melalui corong sebelum masuk ke dalam kepok yang diperbuat daripada buluh dan kayu.

“Kepok adalah perangkap tradisional yang digunakan sejak berzaman dan ia kembali digunakan di sini bagi menangkap kera yang sering merosakkan tanaman limau madu yang diusahakan secara berkelompok.

“Kepok yang dibina dengan lebar dan tinggi dua meter itu akan diletakkan umpan buah-buahan bagi menarik perhatian kera untuk masuk ke dalamnya,” katanya.

Marzuki berkata, penduduk kampung sudah memaklumkan kepada PERHILITAN sebelum membuat perangkap berkenaan dan ia dilakukan berikutan pihak berwajib tidak mempunyai perangkap yang mencukupi untuk ditempatkan di kampung berkenaan.

Katanya, kebiasaannya lebih 50 kera akan datang dan merosakkan tanaman limau berkelompok yang diusahakan 10 petani sehingga menanggung kerugian.

“Selain itu, tanaman sampingan seperti pisang dan jagung sering dirosakkan kera, tetapi kita mengambil pendekatan bekerjasama dengan PERHILITAN kerana kita tahu kera adalah haiwan yang dilindungi.

“Pembinaan kepok ini juga bukan dilakukan sesuka hati namun ia melalui mesyuarat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (J3K) sebelum dibina dan dipantau golongan tua yang mahir dalam pembuatan kepok,” katanya.

Sementara itu, Pengarah PERHILITAN negeri Rahmah Ilias berkata, perangkap yang ditempatkan di satu-satu kawasan sememangnya tidak mencukupi kerana pemasangannya mungkin memakan masa yang lama.

“Kita akan memantau perangkap yang dibina penduduk dan sebaik haiwan itu memasuki perangkap, penduduk perlu menghubungi jabatan bagi proses pemindahan haiwan dilakukan.

“Kera adalah haiwan yang dilindungi dan kita meminta masyarakat supaya lebih peka serta sentiasa bekerjasama dengan jabatan bagi melindungi haiwan terancam dengan tidak mengambil tindakan sendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 April 2017 @ 6:21 AM