DARI kiri, penerima Piala Panglima Pendidikan dan Latihan Udara-Terbaik Akademik, Leftenan Izzat Ikhmal Dzulhelmi Dzulkflee, Abdul Samad (Piala Panglima Terbaik Keseluruhan-Sayap Kaku) dan Leftenan Aslam Hariri Abdul Rashid (Piala Nuri-Terbaik Helikopter) bersama piala dan anugerah yang diterima, semalam.
Aizat Sharif


Alor Setar: Kehilangan bapa tersayang akibat serangan jantung pada 2015 bukan halangan kepada Leftenan Abdul Samad Daud, 25, merealisasikan cita-cita menjadi juruterbang.

Malah, kematian bapanya, Daud Hussein, 65, dijadikan azimat oleh anak jati dari Chuping, Perlis itu untuk menggapai kerjaya di langit biru demi mengubah kehidupannya dan ahli keluarganya di kampung.

Berkat usaha gigihnya membolehkan anak kelima daripada enam beradik itu dinobatkan Penuntut Terbaik Penerbangan Sayap Kaku dan menerima Piala Panglima Tentera Udara pada Majlis Penyampaian Sayap Penerbangan Kursus Asas Penerbangan Siri 78/205 dan Kursus Asas Peralihan Helikopter Siri 57/2016 di Kolej Tentera Udara (KTU), di sini, semalam.

Menurut Abdul Samad, keinginan menjadi juruterbang disemai apabila dia bersama rakannya melawat Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2013.

Beliau berkata, walaupun berkelulusan dari Sekolah Ma’ahad At-Tarbiyah Al-Islamiah (MATRI), Beseri, Perlis, dia tetap meneruskan cita-citanya menjadi juruterbang apabila melanjutkan pelajaran ke Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

“Keterujaan bermula apabila diterima ke KTU dan segala kepercayaan yang diberikan keluarga terutama ibu, Sa’ayah Othman, 60, tidak saya persiakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 April 2017 @ 6:38 AM
Skip this ad x