KULJIT dibawa ke Mahkamah Sesyen Ampang berikutan kes pengubahan wang haram bernilai RM1.79 juta.
myMetro

Ampang: Seorang pemilik syarikat pengiklanan didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam atas enam pertuduhan terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram membabitkan jumlah lebih RM700,000, dua tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh Kuljit Kaur Ajeet Singh, 56, yang juga ibu tunggal dua anak mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Syafeera Mohd Said.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang juga pemilik tunggal syarikat Able Perfect Food didakwa menggunakan akaun semasa syarikat berkenaan sebagai alat untuk melakukan aktiviti haram.

Bagi pertuduhan kedua tertuduh didakwa menggunakan akaun simpanan peribadi Hong Leong Bank miliknya untuk melakukan kesalahan sama.

Bagi pertuduhan ketiga pula, tertuduh didakwa memindahkan wang berjumlah RM301,116 hasil daripada aktiviti haram dari akaun Hong Leong Bank (seperti pertuduhan kedua) ke akaun semasa sebuah lagi syarikat lain miliknya iaitu Kittys Enterprise.

Sementara itu, bagi pertuduhan keempat dan kelima tertuduh didakwa menggunakan akaun syarikat Kittys Enterprise untuk melakukan aktiviti haram dan memperoleh RM434,700 hasil aktiviti sama dengan menunaikan cek Hong Leong Bank Berhad.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 April 2017 @ 6:49 AM