Anggota bomba cuba menenangkan mangsa di Casa Indah Kondominium, Bukit Idaman.
Nadzreen Shah Mat Salim


Batu Caves: Cubaan seorang lelaki terjun dari tingkat 19 di Casa Indah Kondominium, Bukit Idaman akibat tekanan perasaan gagal apabila dipujuk anggota Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang, semalam.

Dalam kejadian jam 5 pagi, lelaki berusia 22 tahun itu dilihat duduk dalam kedudukan berbahaya di birai koridor luar, ruang udara bahagian tengah bangunan.

Jurucakap BBP Selayang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.09 pagi dan sepasukan anggota dikerahkan ke tempat kejadian.

“Seramai 10 anggota bomba bergegas ke tempat kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, lelaki berkenaan duduk di birai koridor dalam keadaan fikiran bercelaru,” katanya.

Menurutnya, anggota bomba menghampiri lelaki itu dan mula memujuknya.

“Lelaki itu pada mulanya enggan bekerjasama, malah menyuruh anggota bomba meninggalkan dia berseorangan.

“Anggota yang bimbang lelaki itu bertindak di luar jangkaan tidak berputus asa dan memujuk lelaki itu sejam sebelum lelaki terbabit mula berlembut,” katanya.

Beliau berkata, sebaik ditenangkan, lelaki berkenaan mendakwa dia mengalami masalah putus cinta dan tekanan perasaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 April 2017 @ 6:17 AM