TANGKI pengumpulan induk terdapat di FRI Gelang Patah.
TANGKI pengumpulan induk terdapat di FRI Gelang Patah.
MENU belangkas yang popular di Batu Pahat.
MENU belangkas yang popular di Batu Pahat.
NELAYAN menangkap belangkas yang tersangkut pada jaring.
NELAYAN menangkap belangkas yang tersangkut pada jaring.
BELANGKAS berkumpul di tepi pantai.
BELANGKAS berkumpul di tepi pantai.
Mohd Sabran Md Sani dan Essa Abu Yamin


Johor Bahru: Belangkas atau nama saintifiknya tachypleus gigas bukan saja dianggap sebagai hidupan eksotik, tetapi spesies unik ini sebenarnya sudah wujud lebih 200 juta tahun serta mendahului dinosaur dengan fosil tertua kira-kira 475 juta tahun.

Haiwan daripada keluarga Limulidae ini hidup di laut dan paya air payau, malah agak unik apabila hidupan akuatik ini juga tergolong dalam kumpulan ‘arachnids’ iaitu labah-labah berikutan mempunyai sedikit persamaan pada bahagian kaki.

Secara fizikalnya, bentuk badannya seakan-akan topi besi digunakan tentera zaman dahulu dan juga mempunyai ekor yang panjang dan tajam.

Malah, ia boleh mencapai saiz sehingga 51 sentimeter, selain anggotanya yang putus boleh tumbuh semula serta mempunyai sistem keimunan yang menakjubkan.

Tidak hairanlah, haiwan itu sangat bernilai tinggi dalam sektor perubatan berikutan bendalir terkandung dalam badannya boleh digunakan untuk mengesan virus, bakteria dan toksin.

Buktinya, kit antitoksin menggunakan belangkas sudah lama berkembang
di Eropah, Amerika Syarikat, Jepun dan Asia Barat.

Bahan bernilai tinggi dalam badan belangkas yang menjadi rebutan pakar perubatan ketika ini adalah darah haiwan itu yang mampu mencecah harga RM22,000 seliter.

Nilai tinggi darah berwarna biru dihasilkan spesies itu menyebabkan ia mendapat permintaan tinggi di seluruh dunia terutama di Amerika Syarikat.

Namun untuk menghasilkan seliter darah biru belangkas sekurang-kurangnya 150 ekor diperlukan dan hanya 10 peratus darah diambil daripada setiap seekor belangkas yang dibawa ke makmal.

Secara praktikal, darah biru belangkas disedut keluar tanpa perlu membunuhnya kerana belangkas yang dilepaskan semula ke habitat asal mampu menghasilkan darah berkualiti untuk digunakan semula pada masa depan.

Pegawai Penyelidik Jabatan Perikanan Malaysia, Mohd Lazim Mohd Saif berkata, terdapat empat spesies belangkas dengan tiga daripadanya membabitkan tachypleus tridentatus, tachypleus gigas dan carcinoscorpius rotundicauda hanya boleh didapati di Malaysia.

Spesies belangkas tridentatus terdapat di Asia dengan tachypleus gigas banyak ditemui di kawasan perairan negeri ini terutama di Pontian dan Sedili.

Katanya, dalam memastikan spesies berkenaan tidak pupus, Bahagian Penyelidikan Akuakultur Air Payau, Institut Penyelidikan Perikanan (FRI), Jabatan Perikanan Gelang Patah, Johor, turut terbabit melaksanakan kajian terhadap belangkas.

Kajian setahun dengan menggunakan dana Jabatan Perikanan berjumlah RM80,000 membabitkan tempoh kajian selama setahun bermula tahun 2014.

Mohd Lazim yang bertugas sebagai Pegawai Penyelidik Unit Ternakan Sangkar ketika itu melaksanakan kajian bagi melihat kadar tumbesaran ‘lavae’ (peringkat anak) belangkas di dalam tangki khas yang ditempatkan di FRI Gelang Patah, Johor.

Mohd Lazim berkata, idea untuk menjalankan kajian terhadap belangkas tercetus sebaik beliau dipindahkan dari FRI Rantau Abang, Terengganu ke pusat berkenaan.

“Tujuan utama penyelidikan itu adalah untuk menambahkan sumber belangkas di perairan negara, apatah lagi spesies itu banyak dikeluarkan dari habitat semula jadi tanpa ada usaha pihak tertentu menambah bilangannya.

“Didapati belangkas bukan saja berdepan kepupusan, tetapi paling penting ia mengambil masa lama untuk matang dan proses bertelur selepas mencecah usia 10 tahun.

“Dalam tempoh sembilan tahun, belangkas akan salin kulit. Tahun ke-10 pula ia baru mencari pasangan untuk mengawan,” katanya yang berpengalaman 10 tahun berkhidmat dengan FRI Rantau Abang sebelum ini.

Menyentuh mengenai kajian pernah dijalankan katanya, belangkas yang ditemui di perairan negara ini berbeza dengan spesies di bahagian timur Amerika Syarikat.

“Dalam dunia perubatan darah belangkas digunakan sebagai petunjuk untuk memastikan ubat digunakan tulen atau asli, selain bebas virus, bakteria dan toksin.

“Peranannya seperti sel darah putih dan menangkap mikro organisma. Biarpun banyak kajian dijalankan, kekurangan sumber menyebabkan teknologi yang ada tidak dapat digunakan,” katanya.

Beliau yang pernah menghasilkan jurnal bertajuk ‘Populasi Belangkas di Johor: Kajian soal selidik’ berkata penyelidikan berkenaan untuk menentukan status belangkas di negeri Johor yang merangkumi pantai timur dan kawasan pantai barat.

“Kaedah yang digunakan adalah melalui soal selidik kepada masyarakat tempatan, nelayan dan berdasarkan jumlah bilangan belangkas ditangkap menggunakan pukat ketika air pasang.

“Hasil kajian terhadap penduduk mendapati bilangannya menurun kira-kira 50 peratus berbanding 20 tahun yang lalu di perairan Johor kecuali di kawasan Sedili, Kota Tinggi, Johor dengan jumlah tangkapan tidak pernah berubah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 April 2017 @ 6:36 AM