pasangan pengantin yang dirai dalam Majlis Walimatul Urus Perdana Parlimen Jerantut di Dataran Majlis Daerah Jerantut, semalam.
Ikhwan dan Aqidah.
SAMSUL dan Tijah berkenalan menerusi rancangan di stesen radio.
Noor Ainum Ibnu Hajar Abu Seman

Jerantut: Andai sudah jodoh pasti tiada siapa dapat menolak walaupun perkenalan itu hanya bermula daripada satu rancangan di sebuah stesen radio.

Bermula dari situ, pasangan suami isteri Orang Asli, Samsul Kepoh, 32, dan Tijah Supit, 27, saling bertukar nombor telefon dan mula mengenali hati budi masing-masing sebelum kedua-duanya mengambil keputusan untuk berkahwin.

Perkenalan mereka yang berakhir di jenjang pelamin disaksikan orang ramai di daerah ini bersama sembilan pasangan lain dalam Majlis Walimatul Urus Perdana Parlimen Jerantut di Dataran Majlis Daerah Jerantut, di sini, semalam.

Terdahulu, pasangan Orang Asli itu sah bergelar suami isteri selepas dinikahkan kadi daerah ini, Syarifuddin Mohamad Sa’ad di Masjid Tengku Mahkota Abdullah, dekat Temin, di sini, semalam.

Samsul berkata, majlis perkahwinan yang berlangsung semalam dihadiri beberapa ahli keluarganya dan isteri.

“Saya bersyukur dan gembira kerana akhirnya dapat mengahwini Tijah.

“Selain itu, kami juga gembira kerana pakaian disediakan cantik dan makanannya sedap,” katanya ketika ditemui di majlis itu.

Samsul dan isteri adalah dua daripada pasangan mempelai dalam kalangan Orang Asli yang disatukan dalam majlis julung kali diadakan di daerah ini.

Sementara itu, Ikhwan Razali, 27, dan isteri, Aqidah Syuhada Jafridin, 23, berkata, mereka bersyukur serta berpuas hati dengan majlis diadakan.

“Apa yang penting untuk berkahwin kita tidak perlu bermewah,” katanya yang berasal dari Kerambit, Kuala Lipis.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Jerantut Datuk Ahmad Nazlan Idris berkata, majlis berkenaan adalah kerjasama daripada pelbagai pihak bagi menjayakannya.

“Tujuan ia diadakan bagi membantu meringankan beban ditanggung keluarga dan mereka yang terpilih terdiri daripada golongan berpendapatan rendah.

“Selain itu, ia dapat menggalakkan orang muda mencari kaedah berkahwin yang sesuai dengan keadaan ekonomi ketika ini,” katanya.

Menurutnya, melalui majlis itu, pasangan yang terpilih hanya perlu memperuntukkan RM3,000 saja untuk berkahwin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mei 2017 @ 8:30 AM