NOOR Azlan membawa Salbiah menikmati pemandangan indah dan udara segar di pesisiran pantai Kampung Padang Kemunting, Masjid Tanah.

Alor Gajah: Demi kasih dan cinta terhadap isteri yang diserang penyakit angin ahmar, seorang bekas pekerja pusat peranginan sanggup meletak jawatan semata-mata untuk menjaga isteri tersayang.

Sejak Salbiah Lamit, 52, diserang penyakit berkenaan pada Mac 2016, Noor Azlan Abdul Hamid, 57, sanggup berkorban menjaga isterinya dan terpaksa berhenti kerja berikutan tiada siapa yang boleh memberikan sepenuh masa untuk menjaga Salbiah.

Noor Azlan berkata, Salbiah yang sebelum itu bekerja sebagai tukang masak di beberapa kedai makan sekitar Masjid Tanah diserang penyakit itu pada 3 Mac tahun lalu.

“Isteri saya dirawat di Hospital Melaka selama lapan hari sebelum doktor membenarkannya pulang dan selepas itu saya membawanya ke pelbagai tempat berurut untuk memulihkan tangan dan kaki kirinya yang tidak berfungsi.

“Saya terpaksa berhenti kerja untuk menguruskan makan, minum, pakaian dan bermacam-macam lagi kerja menjaga orang sakit angin ahmar, termasuk menukar lampin pakai buangnya,” katanya ketika ditemui di Kampung Padang Kemunting, Masjid Tanah, dekat sini, semalam.

Pasangan suami isteri yang dikurniakan lapan anak berusia antara 10 hingga 25 tahun itu setakat ini belum menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Noor Azlan berkata, dia akan mencuba mengemukakan permohonan untuk mendapatkan bantuan itu bagi menampung pembiayaan keluarga yang sekarang disumbangkan dua anaknya yang sudah bekerja.

“Saya tidak kesal dengan penyakit yang menyerang isteri saya kerana semuanya qada dan qadar Allah dan sebagai manusia, kita harus berikhtiar untuk meneruskan kehidupan,” katanya.

Dia berkata, dua atau tiga hari sekali, dia menolak kerusi roda dinaiki isterinya untuk mengambil angin laut di pesisiran pantai selepas bosan berada di rumah.

Sementara itu, Salbiah bersyukur dianugerahkan suami yang penyayang, malah memahami penderitaannya.

“Saya cuba menggerakkan tangan dan kaki kiri, tetapi tidak mampu dan saya berdoa agar Allah menyembuhkan penyakit ini,” katanya.

Mereka yang ingin membantu Salbiah boleh menghubungi Noor Azlan di talian 013-6156777.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mei 2017 @ 1:33 PM