ABDUL Adzis (kanan) melihat Buku Sokongan Pendidikan Bahasa Melayu ketika majlis perasmian di PWTC.
Suraya Roslan
suraya@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Tugas guru dilihat semakin membebankan untuk memperbetulkan tatabahasa dan pemahaman pelajar dalam bahasa Melayu berikutan penggunaan bahasa rojak yang berleluasa dalam drama tempatan.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Abdul Adzis Abas berkata, stesen televisyen dan penerbit harus memandang serius perkara berkenaan kerana ia menambah tugas hakiki guru terutama membabitkan karangan bahasa Melayu pelajar.

“DBP dengan kerjasama penulis selalu berfikir apa kaedah yang boleh membantu pelajar peringkat sekolah menguasai bahasa Melayu.

“Kita mahu bahasa Melayu tertib dan kesantunannya membentuk sahsiah serta pemikiran pelajar. Mereka seharusnya perlu memilih drama yang boleh membantu pelajaran bukan menyimpang daripada tatabahasa yang betul,” katanya selepas majlis pelancaran Buku Sokongan Pendidikan Bahasa Melayu DBP di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, semalam.

Ia dilancarkan Pengarah Institut Aminuddin Baki, Dr Zainal Aalam Hassan.

Abdul Adzis berkata, penggunaan bahasa Melayu rojak yang menggabungkan bahasa Inggeris dan berbunyi pelik memberi kesan jangka panjang kepada pelajar.

“Ada pelajar yang mudah terikut dengan penggunaan tatabahasa drama hingga memberi kesan kepada markah mereka dan ini memberi cabaran untuk guru memperbetulkan pemahaman itu.

Semalam, Pengerusi Lembaga Penapisan Filem (LPF), Datuk Abdul Halim Abdul Hamid menegur stesen televisyen dan penerbit yang membenarkan penggunaan bahasa rojak pada judul cerita.

Abdul Adzis berkata, dia tidak bersetuju dengan kecenderungan bahasa rojak dalam rancangan televisyen sehingga mencemarkan bahasa Melayu.

“DBP sedang menjalankan program Ziarah Bahasa ke setiap stesen televisyen untuk mengadakan perbincangan selain memberi nasihat berkenaan penggunaan bahasa Melayu yang betul,” katanya.

Pelancaran 21 buku sokongan pendidikan bahasa Melayu terbitan DBP sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2017 juga adalah satu usaha DBP memperkukuhkan penguasaan asas kemahiran berbahasa Melayu dalam kalangan pelajar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2017 @ 5:07 AM