MOHD Khairusy dipenjara 10 tahun selepas didapati bersalah membakar tiga  rumah termasuk milik arwah bapa saudaranya.
MOHD Khairusy dipenjara 10 tahun selepas didapati bersalah membakar tiga rumah termasuk milik arwah bapa saudaranya.
myMetro

Kuala Terengganu: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam selepas didapati bersalah membakar tiga rumah, termasuk kediaman arwah bapa saudaranya, gara-gara bengang tidak diberikan wang.

Keputusan itu dibuat Hakim Azman Mustapha selepas tertuduh, Mohd Khairusy Shakirin Ali, 34, didapati bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api atau benda letupan dengan niat hendak membinasakan rumah dan sebagainya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja membakar rumah milik Muhammad Junos menyebabkan kebakaran dan kebinasaan kediaman berkenaan bersama dua lagi rumah lain terletak bersebelahan.

Mohd Khairusy didakwa melakukan kesalahan itu di Kampung Pengkalan Arang, Kuala Nerus, jam 7.50 pagi pada 15 Mei tahun lalu.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Syairah Mohamad Razali.

Terdahulu, ketika kejadian, seorang anggota keluarga tertuduh yang ada di dalam rumah terdengar orang bertengkar sebelum terdengar tertuduh mengugut mahu membakar rumah sekiranya ibunya tidak memberikannya wang.

Beberapa minit kemudian, ahli keluarga tertuduh keluar dari rumah sebelum ternampak asap keluar dari kediaman arwah bapa saudara tertuduh yang dihuni lelaki terbabit.

Api merebak dengan cepat sehingga memusnahkan dua rumah berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2017 @ 5:42 AM