RANTAI
Fuad Hadinata Yaacob


Shah Alam: “Saya mohon mahkamah mengurangkan jaminan kerana RM10,000 adalah tinggi dan saya hanya mampu bayar RM3,000 saja.

“Ini kerana saya mempunyai lima anak masih kecil dan bersekolah, isteri tidak bekerja, malah saya memberi jaminan bekerjasama dalam kes ini,” rayu pegawai polis, Asisten Superintendan Rantai Giling, 46, di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, ketika memohon jumlah jaminan RM10,000 yang ditawarkan pendakwa raya dikurangkan.

Rantai yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak didakwa atas pertuduhan secara rasuah bersetuju menerima suapan wang tunai RM4,000 daripada lelaki warga Bangladesh, Azizur Rahman bagi melepaskan rakannya, Rostam Ali Sheikh yang ditahan di IPD Gombak kerana tidak mempunyai permit kerja sah.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu jam 5.50 petang di restoran di Jalan PS8, Taman Prima Selayang, Batu Caves, Gombak pada 29 Mac lalu.

Kes itu didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan itu atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Tertuduh mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mei 2017 @ 12:03 AM