KEADAAN kenderaan yang terbabit kemalangan di Jalan Permatang Tinggi.

Bukit Mertajam: Tindakan seorang lelaki memandu secara melulu selain membuat pusingan U sesuka hati ketika melarikan diri daripada penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hingga mengakibatkan kemalangan di Jalan Permatang Tinggi, di sini, petang kelmarin membongkar rahsia dia membawa pelbagai dadah.

Dalam kejadian jam 6.20 petang, pemandu Proton Wira berusia 33 tahun dan rakan berusia 21 tahun itu dikejar kenderaan penguat kuasa JPJ dari Simpang Ampat ke arah Bukit Mertajam.

Sebaik melalui Jalan Permatang Tinggi, pemandu kereta itu membuat pusingan U secara tiba-tiba menyebabkan seorang lelaki yang memandu kereta Proton Saga dari arah bertentangan (Bukit Tengah) tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian depan kereta Proton Wira itu.

Mangsa, Mohd Zahir Daud, 39, dari Sungai Petani, Kedah, parah serta tidak sedarkan diri dan dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut manakala suspek tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, sebaik sepasukan polis tiba di tempat kemalangan berkenaan, suspek terbabit cuba melarikan diri sebelum ditahan dan hasil pemeriksaan menemui dadah di dalam beg kecil dipakai di pinggangnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mei 2017 @ 9:31 AM