ZAKARIA ketika ditemui di sekitar Kota Purba Lama.

Allepo: Dengan susuk tubuh masih kecil, seorang remaja lelaki menolak kereta sorong berisi roti di sekitar Kota Purba dan mengharapkan orang ramai membeli hasil jualannya.

Remaja Syria itu, Zakaria Abu Maiyat, 14, terpaksa melakukan pekerjaan itu dan mengorbankan masa remaja demi menyara keluarga selepas kematian bapanya yang terbunuh akibat pertempuran antara tentera pimpinan Presiden Bashar al-Ashad dengan kumpulan daripada rakyatnya sendiri berfahaman sunni.

Zakaria berkata, dia mengambil upah menjual roti yang diambil di kedai dan dibayar 500 Pound Syria (SYP) (RM10.21) sehari.

Menurutnya, wang yang diperoleh itulah akan digunakan untuk menyara ibunya dan enam adik beradiknya yang masih hidup.

“Bapa saya terkorban dalam peperangan itu dan kami hilang punca pendapatan menyebabkan saya terpaksa melakukan pekerjaan ini demi kelangsungan hidup kami sekeluarga,” katanya.

Temubual ringkas dengan remaja dibuat ketika saya dibawa melihat Kota Purba Lama Aleppo.

Kawasan Kota Purba Lama itu yang wujud sejak 5,000 tahun sebelum Masihi turut mengalami kerosakan sebahagiannya akibat pertempuran itu dan kini ia dikawal ketat tentera Bashar selepas bimbang kawasan itu kembali dirampas pihak yang cuba menentangnya termasuk Daish yang pernah menawan kota itu dan melarikan pelbagai artifak lama untuk dijual.

Walaupun mengalami kehancuran namun orang ramai masih dibenarkan masuk dan bergambar
di dalam kota purba itu namun diiringi tentera Bashar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mei 2017 @ 10:09 AM