KAWASAN jalan yang ditutup dan lori yang dihanyutkan air lumpur. FOTO ihsan APM
Ramli Ibrahim


KILOMETER 61 Jalan Gua Musang-Lojing dekat Pos Blau, Gua Musang ditutup lebih lima jam berikutan banjir lumpur sejak 6 pagi, hari ini.

Kejadian itu turut menyebabkan lori dihanyut air lumpur, namun pemandu lelaki berusia 30-an berjaya menyelamatkan diri.

Difahamkan, banjir itu kali keempat berlaku di kawasan berkenaan susulan hujan lebat sejak malam.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Gua Musang, Mohd Yusalmi Mohd Yusof berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada 6 pagi dan empat anggota ke lokasi untuk bantuan.

"Kami dimaklumkan sudah berlaku limpahan air lumpur dari bukit berdekatan sejak 5.30 pagi dan laluan dari Lojing ke Gua Musang terjejas teruk.

"Kita bersedia untuk membantu pengguna jalan raya sekiranya ada yang tersangkut dalam banjir dan van dipandu seorang lelaki hanyut.

"Bagaimanapun, lelaki itu sempat keluar dari kenderaannya untuk menyelamatkan diri. Keadaan jalan gelap ketika itu menyebabkan dia tidak sedar jalan sudah dipenuhi air lumpur sedalam dua meter," katanya di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Gua Musang, Fadhlil Wafi Nordin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kenderaan sudah boleh melalui lokasi itu sejak 11.30 pagi.

Katanya, pihaknya sedang memantau situasi di situ bagi memastikan tidak berlaku kecelakaan jalan raya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mei 2017 @ 1:48 PM