KEADAAN kenderaan yang terlibat dalam kemalangan.
Noor Hidayah Tanzizi
am@hmetro.com.my


LELAKI maut manakala dua cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 2 Jalan Seri Manjung-Lekir berhampiran Taman Hijau, Manjung, hari ini.

Dalam kejadian 12.05 tengah malam itu, Wong Chee Ching, 39, beralamat di Taman Samudera, Seri Manjung yang memandu Proton Iswara meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Seri Manjung (HSM) akibat parah.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah berkata, kemalangan itu membabitkan tiga kenderaan iaitu Proton Iswara, Toyota Hilux dan motosikal Yamaha ditunggang lelaki berusia 20 tahun.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kereta dipandu mangsa dari arah Lekir menghala ke Seri Manjung manakala Toyota Hilux dipandu lelaki berusia 26 tahun itu dari arah bertentangan.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, kereta yang dipandu mangsa dipercayai memasuki lorong bertentangan.

"Oleh kerana jarak yang terlalu dekat pemandu Toyota Hilux tidak sempat mengelak lalu melanggar kereta mangsa di bahagian hadapan sebelah kanan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, keadaan itu menyebabkan motosikal yang berada di belakang Toyota Hilux itu turut gagal mengelak sebelum melanggar kenderaan itu di bahagian belakang sebelah kiri.

"Kemalangan itu menyebabkan mangsa meninggal dunia di HSM manakala pemandu Toyota Hilux retak tangan kanan serta luka di kaki dan tangan dan penunggang motosikal luka di tangan dan kaki.

"Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik HSM untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mei 2017 @ 1:08 PM