Siti A'isyah Sukaimi


DUA individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Lembah Klang, hari ini berhubung dakwaan rasuah membabitkan pembekalan barangan pengubahsuaian projek Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada 2014.

Sumber SPRM berkata, suspek membabitkan lelaki yang juga pengurus projek TNB berusia 55 tahun serta wanita iaitu pemilik syarikat pembekal berusia 51 tahun.

"Lelaki terbabit didakwa menerima kereta BMW 5 Series daripada suspek wanita sebagai habuan terhadap pemberian tender pembekalan barangan.

"Kerja pengubahsuaian dipercayai dilakukan di beberapa pejabat TNB sekitar Kuala Lumpur," katanya ketika dihubungi.

Kedua-dua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pada 11 pagi hari ini oleh pegawai SPRM bagi proses penahanan reman terhadap mereka.

Mereka ditahan reman lima hari bermula hari ini dan perintah berkenaan dikeluarkan oleh Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mei 2017 @ 2:54 PM
SUSPEK dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
SUSPEK dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor