KENDERAAN yang terbabit kemalangan. FOTO ihsan Polis
Farah Suhaidah Othman


NIAT lelaki membantu seorang lagi pemandu kereta yang berhenti di lorong kecemasan akibat kehabisan minyak tidak kesampaian selepas dirempuh kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 303.6 Lebuhraya Utara Selatan arah utara di Kampar, semalam.

Dalam kejadian pada 6.35 petang itu, S Murugan, 45, yang bekerja sebagai penarik kereta maut di lokasi kejadian selepas tercampak ke bahu kiri jalan akibat dirempuh kenderaan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, siasatan awal mendapati Isuzu Dmax dalam perjalanan dari arah Tapah menghala ke Ipoh.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian Isuzu Dmax berkenaan melanggar lopak air menyebabkan hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri lebuh raya dan merempuh kereta Peugeot yang berhenti di lorong kecemasan akibat kehabisan minyak.

"Akibat rempuhan itu, trak pikap itu berpusing dan merempuh belakang Proton Wira dinaiki mangsa yang diletakkan di hadapan kereta Peugeot.

“Ketika kejadian, mangsa berdiri di belakang keretanya bagi memberi bantuan kepada pemandu Peugeot itu.

“Akibat perlanggaran itu, mangsa tercampak ke bahu kiri tepi lebuh raya sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi di Tapah, hari ini.

Kong Soon berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kampar untuk bedah siasat manakala dua lelaki yang memandu trak pikap dan kereta Peugeot tidak cedera.

Beliau berkata, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mei 2017 @ 1:48 PM