AMIRUDIN (tengah) menyampaikan watikah pelantikan.
MOHD Idris (kanan) dan Mohd Muzaffar menunjukkan produk keluaran syarikatnya pada Majlis Pentauliahan Dan Graduasi Usahawan PKNS di Dewan Aster, Shah Alam.
Siti Nor Amirah Abu Bakar
am@hmetro.com.my


Shah Alam: Sedar mengenai kepentingan belajar mengaji dan mendalami ilmu agama, graduan Universiti al-Azhar yang menjalankan perniagaan mengajar mengaji dari rumah ke rumah kini mampu tersenyum berikutan memperoleh hasil RM20,000 dalam masa beberapa bulan beroperasi.

Bekas penuntut Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam dan Bahasa Arab Anna Rosdijanti Ahmad Rosdi, 31, berkata, dia tidak pernah menyangka usahanya bertukar menjadi serius kerana hanya bermula secara suka-suka beberapa tahun lalu.

Menurutnya, idea menjalankan perniagaan itu tercetus selepas dia melihat umat Islam di Mesir berjaya menghafal al-Quran pada usia muda.

Katanya, dia kemudian menanam niat bagi membantu meningkatkan pembangunan modal insan di negara ini dengan cara mengajar mengaji sambil berdakwah.

“Alhamdulillah, saya bersyukur usaha selama ini membuahkan hasil. Dalam kerja dakwah ini, bukan wang yang saya pandang, sebaliknya ilmu yang dikongsi itu lebih besar manfaatnya,

“Sehingga kini, saya mempunyai anak didik dari usia empat hingga 70 tahun. Bagi saya, tiada had umur dalam menuntut ilmu, yang perlu cuma keinginan dan azam yang tinggi untuk berubah,” katanya.

Anna Rosdijanti mencapai kejayaan itu selepas mengikuti program Graduate Realizing Opportunities Way Forward (GROW) yang dianjurkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Ibu kepada dua cahaya mata itu menyertai program berkenaan selama empat bulan mulai Disember 2016.

Sepanjang program, peserta mengikuti latihan, seminar seterusnya dibimbing dalam perniagaan yang diceburi.

“Terima kasih kepada PKNS yang banyak membantu saya dalam perniagaan ini,” katanya yang juga seorang daripada 80 penerima sijil pentauliahan dan graduasi pada Majlis Pentauliahan dan Graduasi Usahawan PKNS, di sini, semalam.

Sementara itu, dua beradik yang pernah kerugian RM1 juta dalam perniagaan kini mampu tersenyum selepas mendapat bantuan PKNS melalui program Vendor Inkubator Payung (VIP).

Mohd Idris Tamhid, 41, yang juga Pengarah Syarikat Real Facade System Sdn Bhd berkata, pengalaman itu dijadikan semangat untuk terus berusaha mencapai kejayaan.

Katanya, dia memulakan perniagaan pada 2009 sebelum menyertai program VIP anjuran PKNS pada Jun 2016.

“Pengalaman gagal dalam perniagaan memang pahit, namun saya berterima kasih kepada PKNS kerana banyak membantu syarikat kami untuk bangun semula.

“Melalui program VIP, banyak faedah kami dapat melalui kelas, seminar dan bimbingan yang disediakan,” katanya yang berkongsi perniagaan dengan adiknya, Mohd Muzaffar, 34.

Majlis dirasmikan Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Noraida Mohd Yusof manakala majlis pentauliahan disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda dan Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan negeri Amirudin Shaari.

Menurut Noraida, anugerah itu membabitkan empat program keusahawanan iaitu VIP, Program Sub Kontraktor Bumiputera (SKB), program GROW dan Program Lima Usahawan.

Beliau berkata, menjadi hasrat PKNS mahu melahirkan golongan usahawan berdaya maju, berdaya saing di peringkat tempatan mahupun antarabangsa serta berdaya tahan.

Katanya, sehingga kini, pihaknya menjana RM233.5 juta dalam program keusahawanan di bawah kelolaan Bahagian Pembangunan Usahawan PKNS.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2017 @ 5:11 AM