WOO Kwai Chung (dua kiri) dan Sai Jun Hao (dua kanan) mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan. FOTO Muhd Asyraf Sawal
WOO Kwai Chung (dua kiri) dan Sai Jun Hao (dua kanan) mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan. FOTO Muhd Asyraf Sawal
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


DUA pengusaha kebun bunga dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda masing-masing RM12,000 dan RM10,000 di Mahkamah Sesyen Kuantan, hari ini atas pertuduhan memberi rasuah kepada pegawai Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 2015.

Terdahulu tertuduh Woo Kwai Chung, 55, dan Sai Jun Hao, 21, yang diahadapkan secara berasingan membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Habibah Mohamed Yusof

Mengikut kertas pertuduhan, Kwai Chung didakwa memberi suapan berjumlah RM5,000 kepada Timbalan Pengarah Operasi (Maritim) MKN, Kapten Wan Burhanuddin Jusoh di Coffee House Hotel Heritage pada 4.45 petang, 15 April 2015 sebagai dorongan menangguhkan kerja merobohkan kebun haram diusahakan ahlinya di Ulu Merah, Ringlet, Cameron Higlands seluas 2.4 hektar.

Jun Hao pula didakwa memberi suapan berjumlah RM1,500 kepada Wan Burhanuddin di Strawberry Resort pada 7.51 petang, 21 Mei 2015 sebagai dorongan tidak merobohkan kebun diusahakan bersama abangnya di Hutan Simpan Bertam Valley seluas 4.8 hektar.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Fadhly Mohd Zamry manakala kedua-dua tertuduh diwakili Simon Evanson.

Habibah juga memerintahkan Kwai Chung dan Jun Hao menjalani hukuman penjara tambahan masing-masing empat dan dua bulan sekiranya gagal membayar denda.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2017 @ 1:43 PM