MOHD Zaimi diberikan rawatan kecemasan selepas dilanggar kereta.
myMetro

Georgetown: Seorang penunggang motosikal nyaris maut apabila terpelanting di atas jalan selepas dirempuh kereta yang melanggar lampu isyarat merah dalam kemalangan di persimpangan lampu Isyarat Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu/Gat Lebuh Macallum, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.20 petang itu, mangsa, Mohd Zaimi Mohd Fadil, 30, dikatakan dalam perjalanan dari Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu menghala ke jeti.

Sumber berkata, ketika mangsa tiba di persimpangan lampu isyarat Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu/Gat Lebuh Macallum yang berwarna hijau mangsa meneruskan perjalanan ke hadapan.

Beliau berkata, tiba-tiba muncul kereta Perodua Kancil lalu melanggar motosikal mangsa menyebabkan mangsa terpelanting di atas jalan.

“Pemeriksaan mendapati kereta dipandu wanita berusia 50-an itu dipercayai melanggar lampu isyarat merah sebelum merempuh mangsa.

“Mangsa diberikan bantuan kecemasan sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk pemeriksaan sebelum dirawat sebagai pesakit luar akibat lebam di betis sebelah kiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mei 2017 @ 5:15 AM