IHSAN Bomba dan Penyelamat Malaysia
Fatin Fazlina Yaakob


LELAKI parah selepas lori membawa muatan diesel yang dipandunya terjatuh ke dalam gaung di Jalan Paya Terubong, di Georgetown, awal hari ini.

Pemandu berusia lingkungan 50-an parah akibat tersepit hampir dua jam selepas lori terbabit terbabas sebelum jatuh ke gaung, pada 8.30 pagi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong, Pegawai Bomba Kanan 11 Abdul Shukur Ilhami Musa, berkata pihaknya bergegas menerima panggilan kecemasan pada 8.45 pagi.

Katanya, bomba memerlukan sembilan minit untuk tiba di lokasi kejadian kerana kesesakan jalan raya.

"Mangsa tersepit di bahagian pemandu dan kita mengalami sedikit kesukaran menyelamatkan mangsa disebabkan keadaan lori tidak stabil.

"Bomba menggunakan pemotong hidrolik bagi mengeluarkan mangsa," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Bomba berhati-hati ketika menyelamatkan mangsa apabila pemeriksaan mendapati lori itu membawa bekalan diesel yang dipercayai untuk kerja pembinaan.

Mangsa parah di bahagian muka, badan, patah tangan kanan dan dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mei 2017 @ 12:31 PM