FASHA Sandha. FOTO MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN
FASHA Sandha. FOTO MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN
Rudy Imran Shamsudin


Kuala Lumpur: Pelakon popular, Fasha Sandha akan memikirkan terlebih dulu mengenai kenyataan pihak penganjur pertunjukkan fesyen Fenomena Aidilfitri yang bercadang mahu bertemu dengannya bagi memohon maaf dan mengadakan sidang media sekali lagi, membabitkan kekeliruan yang berlaku sehingga mencetuskan pertelingkahan antara dirinya dan Nora Danish.

Sewaktu dihubungi, di sini, hari ini, Fasha yang kini sedang bercuti di Australia bersama keluarganya menyatakan dia telahpun dimaklumkan membabitkan kenyataan diberikan Syarikat Glass Go Media yang menganjurkan majlis pertunjukkan fesyen terbabit dan mengaku bertanggungjawab atas insiden pertelingkahan yang berlaku di antara dirinya dan Nora Danish, kelmarin.

“Saya akan memikirkan terlebih dahulu mengenai kenyataan diberikan penganjur yang mahu bertemu dengan saya dan mengadakan sidang akhbar seperti apa yang dinyatakan,” katanya.

Semalam Pengarah Glass Go Media, Amiruddin Rizuan Ali menyatakan, makluman yang kononnya Nora tidak mahu Fasha turut hadir di majlis dilakukan atas keputusan sendiri dan bukan atas arahan Nora atau sesiapa.

Dalam sidang media yang dibuat bersama Nora itu, pelakon yang menyertai pertunjukkan fesyen terbabit bagi mempromosikan koleksi pakaian raya dihasilkan syarikatnya, turut menegaskan dia sudah pun memfailkan tuntutan saman fitnah terhadap Fasha membabitkan apa yang dimuat naik pelakon itu di laman sosial instagram miliknya.

Jelas Nora, tindakan itu diambil kerana apa yang ditulis dan dimuat naik Fasha telah memberi kesan buruk kepada perniagaan diusahakan.

Membabitkan kenyataan Nora yang sudah memfailkan tuntutan saman fitnah terhadap dirinya, kata Fasha dia tidak boleh memberi sebarang komen sehingga pertemuan dengan peguamnya dibuat.

“Maaf saya masih di Australia, dan saya belum boleh memberikan sebarang komen mengenai perkara terbabit. Saya akan memberikan kenyataan mengenainya selepas 18 Mei ini setelah pulang ke tanah air,” katanya.

Fasha menerusi Instagramnya kelmarin memuat naik status yang mendakwa ada artis yang jenamanya turut terbabit dalam pertunjukan fesyen Fenomena Aidilfitri akan menarik diri sekiranya Fasha hadir.

“Pada mulanya pihak pengurusan jenama artis itu tidak mahu saya hadir ke majlis itu, tetapi mereka kemudian menukar fikiran dan membenarkan saya hadir. Saya benar-benar keliru dan kusut dengan situasi terbabit,” tulisnya di Instagram.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mei 2017 @ 7:12 PM
Digital NSTP Subscribe