KEADAAN motosikal yang ditunggang mangsa kemalangan maut ketika mengelak seekor biawak yang melintas jalan di Jalan Besar FELDA Besout. FOTO Rosman Shamsudin
Rosman Shamsudin


Slim River: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas melanggar tiang elektrik di tepi jalan selepas dipercayai cuba mengelak seekor biawak di Jalan FELDA Besout 1, FELDA Besout, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 6.35 petang itu, mangsa, Muhammad Haslan Hishamudinshaharudin, 24, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintandan Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125Z dipercayai dalam perjalanan dari FELDA Besout ke FELDA Trolak.

Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, seekor biawak yang dipercayai melintas jalan menyebabkan mangsa cuba mengelak dan hilang kawalan sebelum terbabas melanggar tiang elektrik di sebelah kiri jalan.

"Mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Slim River untuk bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) (A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mei 2017 @ 11:46 PM