Razali dan  Ramlah  diraikan anak dan cucu  sempena Majlis Konvokesyen ke-20 OUM.
Razali dan Ramlah diraikan anak dan cucu sempena Majlis Konvokesyen ke-20 OUM.
Azma Razana Johari

Seberang Jaya: Walaupun berusia lebih setengah abad, pasangan suami isteri ini tidak malu bersaing dengan rakan kuliah yang jauh lebih muda demi segulung ijazah.

Razali Mohd Noor, 63, dan isterinya Ramlah Daud, 62, antara penerima ijazah pada majlis Konvokesyen Universiti Terbuka Malaysia (OUM) ke-20 Zon Utara di Hotel The Light, di sini, semalam.

Razali berkata, biarpun pernah memiliki ijazah dalam bidang Sains Matematik dari Universiti Sains Malaysia (USM), dia dan isteri belum puas menimba ilmu.

Katanya, minatnya mendalami bidang keagamaan tidak dapat diteruskan tanpa memiliki pendidikan formal dalam bidang itu.

“Hari ini, saya dan isteri menerima ijazah dalam bidang Pengajian Islam selepas empat tahun mengikuti pengajian di OUM.

“Kami mengambil semangat daripada anak yang melanjutkan pelajaran ke universiti dan sokongan serta galakan daripada anak mendorong kami mengikuti pengajian di OUM selama empat tahun, sekali gus mengulangkaji pelajaran bersama-sama.

“Tambahan pula OUM menawarkan diskaun khas untuk warga emas melanjutkan pelajaran untuk bayaran yuran pengajian,” katanya yang mempunyai empat anak.

Pasangan suami isteri itu menerima Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam yang disampaikan Naib Presiden (Perancangan dan Strategi) OUM, Prof Ramli Bahroom.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mei 2017 @ 2:33 AM