AHLI Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Negeri Kedah melaungkan kata semangat di Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan Tahunan ke-37. FOTO Sharul Hafiz Zam
AHLI Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Negeri Kedah melaungkan kata semangat di Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan Tahunan ke-37. FOTO Sharul Hafiz Zam
Aizat Sharif


SEBANYAK RM2.9 juta dikutip Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia sepanjang tahun lalu menerusi Tabung Hari Pahlawan yang akan diagihkan kepada hampir 3,000 tentera veteran dan ahli keluarga.

Timbalan Presidennya, Datuk Sharuddin Omar berkata, jumlah kutipan itu meningkat berbanding RM2.45 juta yang direkodkan pada 2015 susulan inisiatif tambahan yang diperkenalkan membabitkan pungutan secara dalam talian.

"Sepanjang tahun lalu, kita berjaya meningkatkan kutipan atas inisiatif baharu dilaksanakan oleh Kementerian Pertahanan iaitu mana-mana pihak yang berminat untuk menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian secara dalam talian.

"Malah ada juga pasukan keselamatan iaitu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang turut memperkenalkan kaedah dalam talian bagi memudahkan anggota mereka untuk menyumbang.

"Selain itu kita juga banyak menerima sumbangan daripada agensi swasta dan kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang memberikan dana sehingga RM1 juta, " katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Persidangan Perwakilan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Negeri Kedah kali ke-37 di Alor Setar, hari ini.

Persidangan berkenaan dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Tambahnya, semua kutipan itu akan diagihkan kepada golongan sasar tahun ini termasuk mereka yang mengalami masalah kesihatan dan dilanda musibah.

Pada majlis itu, Ahmad Bashah turut mengumumkan sumbangan RM100,000 kepada Tabung Pahlawan selain geran tahunan berjumlah RM50,000 kepada PVATM Kedah.

Turut hadir dalam majlis berkenaan adalah Yang DiPertua PVATM Negeri Kedah, Datuk Yusof Yaacob.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mei 2017 @ 4:53 PM
Kabinet Malaysia 2020