Anggota SPRM mengiringi pegawai kanan imigresen yang ditahan Isnin lalu untuk mendapatkan lanjutan tempoh reman di Mahkamah Sesyen Alor Setar. FOTO Sharul Hafiz Zam
Anggota SPRM mengiringi pegawai kanan imigresen yang ditahan Isnin lalu untuk mendapatkan lanjutan tempoh reman di Mahkamah Sesyen Alor Setar. FOTO Sharul Hafiz Zam
Aizat Sharif


TEMPOH reman pegawai kanan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perlis yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan permit kerja golongan ekspatriat bernilai lebih RM20 juta minggu lalu disambung sehingga 21 Mei ini.

Lanjutan tempoh reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Tertinggi Mahkamah Rendah Alor Setar, Rusmini Mat Rashid selepas tempoh reman suspek utama kes berusia 37 tahun itu tamat hari ini.

Namun empat lagi rakan suspek yang berusia antara 30 hingga 53 termasuk seorang yang bergelar Datuk dibebaskan dengan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Pengarah SPRM Kedah Datuk Mohd Fauzi Mohamad ketika dihubungi mengesahkan perkembangan terbabit.

Pada 8 Mei lalu, SPRM Kedah menahan pegawai kanan JIM yang bertugas di Kompleks Pemeriksaan Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Padang Besar kerana disyaki dalang utama meluluskan permit kerja golongan ekspatriat atau profesional warga asing dengan nilai suapan berjumlah lebih RM20 juta.

Susulan penahanan itu, SPRM turut merampas pelbagai barangan dan aset bernilai RM2.5 juta termasuk enam kenderaan mewah dan sijil simpanan tetap berjumlah hampir RM1 juta di rumahnya di Jitra.

Pada hari sama, SPRM turut menahan dua lelaki membabitkan seorang anggota JIM Perlis serta kontraktor yang disyaki berperanan sebagai pemegang amanah kepada suspek utama.

Sehari selepas itu, dua lagi lelaki termasuk seorang bergelar Datuk ditahan di Petaling Jaya, Selangor dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana mempunyai kaitan berhubung kes rasuah berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mei 2017 @ 12:45 PM