Nanthakumar (kanan) dijatuhi hukuman penjara satu hari dan denda RM10,000 dan Amir Khairi (kiri) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan cuba merasuah anggota polis dengan memberi suapan RM1,000. FOTO Imran Makhzan
Zatul Iffah Zolkiply


AKIBAT rasuah RM50, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara satu hari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini kerana cuba merasuah seorang anggota polis.

Bukan itu sahaja, tertuduh, V Nanthakumar, 35, turut berdepan hukuman penjara enam bulan lagi sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Keputusan itu dibuat Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz selepas tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 17(b)Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memberi suapan RM50 kepada seorang anggota polis, Lans Koperal Mohamad Shaffery Abdul Razak yang bertugas di Bahagian Tugas Am Balai Polis Chukai, Kemaman agar tidak mengambil sebarang tindakan ke atas Md Akkas Ali, seorang warga Bangladesh yang ditahan kerana tidak membawa dokumen pengenalan diri yang sah.

Tertuduh mengaku salah melakukan kesalahan itu dalam sekatan jalan raya di Jambatan Sungai Limbong Bandar Chukai, Kemaman, jam 5.35 petang pada 27 Mac 2015.

Sementara itu, di mahkamah sama, seorang lelaki mengaku tidak bersalah atas pertuduhan cuba memberi suapan sebanyak RM1,000 kepada seorang anggota polis.

Tertuduh, Amir Khairi Hilman Mansor, 22, didakwa memberi suapan kepada Koperal Carsten Anak Wilson yang bertugas di Bahagian Cawangan Pencegahan Jenayah Balai Polis Manir sebagai dorongan kepadanya untuk melepaskan tertuduh daripada ditahan kerana ujian air kencing yang positif dadah methamphetamine.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Balai Polis Manir jam 2.55 petang pada 10 Februari 2016.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, Mohamad Haldar menetapkan 15 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000.

Pendakwaan kedua-dua kes dijalankan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Amer Abu Bakar Abdullah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mei 2017 @ 3:37 PM