GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


TIGA penjenayah yang melarikan diri berjaya ditahan selepas anggota polis peronda melepaskan lapan das tembakan ke arah kereta dinaiki mereka di Lebuhraya Besraya, Serdang, semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias berkata, anggota polis peronda mahu melakukan pemeriksaan terhadap kereta Proton Perdana dinaiki suspek yang berada di Jalan Dagang, di sini, yang dalam keadaan mencurigakan.

"Bagaimanapun, suspek bertindak memecut kenderaan ke arah Lebuhraya Besraya, di sini sebelum menghimpit kereta peronda polis dalam usaha melarikan diri.

"Tindakan suspek menyebabkan anggota polis terpaksa melepaskan lapan das tembakan ke arah tayar kereta dinaiki suspek," katanya yang memaklumkan tiada kecederaan dilaporkan.

Megat berkata, suspek yang terpaksa memberhentikan kenderaannya di hadapan sebuah bangunan di Lebuhraya Besraya bertindak melarikan diri, namun berjaya bertahan.

"Pemeriksaan lanjut terhadap kereta berkenaan menemui pisau yang diletakkan di bawah tempat duduk pemandu.

"Semakan mendapati semua suspek berusia lingkungan 23 hingga 29 tahun itu mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan samun termasuk seorang daripada mereka diburu bagi membantu siasatan kes samun di Puchong pada 2013," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mei 2017 @ 6:51 PM