Pemenang Anugerah Guru Cemerlang Pendidikan Khas, Hadi Salleh bersama pemenang Anugerah Guru Cemerlang OKU, Haw Ching Cher dari SMK Sultan Abdul Aziz Shah, Kajang Selangor. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Dedikasi dan keikhlasan dipamerkan guru, Hadi Salleh, 47, bagi mendidik pelajar orang kurang upaya (OKU) sejak sembilan tahun lalu membolehkannya memenangi Anugerah Guru Cemerlang Pendidikan Khas Peringkat Kebangsaan.

Anugerah berkenaan dimenangi di Majlis Malam Muafakat Guru sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2017 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor (Persada) di Johor Bahru hari ini.

Hadi berkata, dia yang bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Mas di Kota Tinggi di sini, sentiasa berusaha bagi memahami setiap pelajarnya yang mengalami pelbagai kecacatan.

Menurutnya, dia terus memberi semangat kepada kumpulan pelajar yang terdiri daripada golongan mengalami masalah pembelajaran, masalah pendengaran dan pelbagai kecacatan fizikal untuk menjadi insan yang cekal serta berdikari.

Katanya, dalam usaha berkenaan dia juga berjaya mewujudkan rumah burung walet, galeri seni cenderawasih dan projek penanaman cili padi bagi memupuk kumpulan pelajar itu bergerak aktif.

"Saya dikenali sebagai cikgu Hadi dalam kalangan pelajar kelas khas berkenaan yang berusia antara 13 hingga 19 tahun.

"Ada pelajar yang sanggup tidak hadir ke sekolah pada hari saya bercuti dan menyatakan tidak mahu bersekolah kerana cikgu Hadi tiada.

"Apa yang penting bagi mendidik anak syurga ini adalah mencuri perhatian dan menyentuh perasaan mereka," katanya.

Hadi antara 28 guru dari seluruh negara yang menerima pelbagai anugerah di majlis berkenaan.

Anugerah yang disampaikan termasuk Guru Cemerlang Pendidikan Khas dan Anugerah Guru Cemerlang Orang Kurang Upaya (OKU).

Anugerah lain adalah Anugerah Ikon Guru, Anugerah Kepimpinan Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Guru Inovatif Kategori Pra Sekolah, Rendah dan Menengah serta Anugerah Guru Inovatif.

Hadir menyampaikan anugerah kepada warga pendidik itu adalah Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Datuk Ayub Rahmat.

Seramai 2,200 wakil guru dari seluruh negara diraikan di majlis makan malam berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2017 @ 12:01 AM