Norasikin Daineh


TIADA tanda pendaratan kumpulan bersenjata di Lahad Datu seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, pihaknya sedia maklum mengenai laporan seorang pekerja ladang terserempak dengan lima lelaki berpakaian celoreng pada 30 April lalu.

“Siasatan kes ini dilakukan oleh polis. Bagaimanapun, bagi pihak ESSCOM kita memang peka sebarang perkembangan semasa dan sentiasa mengambil langkah yang perlu untuk memastikan tiada sebarang pendaratan (kumpulan bersenjata) dari luar.

“ESSCOM turut mengambil tindakan proaktif dengan melaksanakan operasi di tempat yang didakwa (laporan berkenaan) tetapi kita tidak mendapat sebarang tanda mengenai kehadiran orang (kumpulan bersenjata) yang didakwa," katanya di Kota Kinabalu, hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan, polis menyiasat dakwaan seorang pekerja ladang terserempak lima lelaki lengkap bersenjata berhampiran Sungai Ladang, Blok 8, Felda Sahabat 2, Cenderawasih, Lahad Datu pada 30 April lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2017 @ 2:29 PM