Mohd Ruzaini Zulkepli


POLIS akan memanggil pekerja ladang untuk memberi keterangan berhubung dakwaan dia terserempak lima individu berpakaian celoreng dan bersenjata di Felda Sahabat, Lahad Datu pada 30 April lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din berkata, sekiranya terdapat keperluan, pihaknya akan menahan lelaki berusia 52 tahun itu untuk tindakan lanjut.

"Jika perlu, kita akan menahan pengadu yang mendakwa terserempak dengan lima individu berkenaan dalam kejadian di Lahad Datu, baru-baru ini," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Tilawah al-Quran peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di Kota Kinabalu, hari ini.

Sebelum ini, akhbar melaporkan pekerja ladang mendakwa terserempak lima individu berpakaian celoreng dan lengkap bersenjata berhampiran Sungai Ladang Sawit, Blok 8, Felda Sahabat 2, Cenderawasih, Lahad Datu, pada 30 April lalu.

Lelaki itu kemudian membuat laporan di Balai Polis Cenderawasih, Lahad Datu, pada 14 Mei lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mei 2017 @ 5:59 PM