Nurul Hidayah Bahaudin


LELAKI berusia 25 tahun dicekup orang ramai selepas gagal meragut seorang pelancong wanita warga India di Jalan Hang Lekiu, Kuala Lumpur, semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, dalam kejadian 4 petang itu, mangsa berusia 21 tahun dikatakan sedang melintas sebelum dihampiri sebuah motosikal dari belakang.

“Suspek bertindak meragut rantai leher emas mangsa, namun gagal kerana wanita itu sempat memegang rantai berkenaan.

"Suspek yang panik terus memecut motosikalnya dan melanggar pembahagi jalan menyebabkan dia terjatuh," katanya.

Mohd Sukri berkata, orang ramai di lokasi kejadian sempat menahan suspek sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Semakan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mei 2017 @ 6:16 PM
Suspek ditahan orang awam. FOTO ihsan polis