AHMAD Razif (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen diantara Aziz (dua kanan) dan Wan Nawawi (dua kiri). Turut hadir, Pengarah Jabatan Perhubungan Kerajaan, Zamani Rafique (kiri) dan Ketua Komersial AirAsia Berhad, Spencer Lee (kanan). FOTO Ghazali Kori
Helmy Abd Rahman


SYARIKAT penerbangan tambang murah, AirAsia akan menyediakan laluan baru menghubungkan Johor Bahru dan Kuala Terengganu mulai 22 Jun ini.

Ahli Lembaga Pengarah AirAsia Bhd, Datuk Aziz Bakar berkata, menerusi pengenalan laluan baru itu, pihaknya yakin mampu melonjakkan jumlah penumpang pergi dan balik ke Terengganu kepada 500,000 tahun ini berbanding 420,000 pada 2016.

"AirAsia kini beroperasi 28 penerbangan seminggu dari Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu untuk memenuhi permintaan pelancong dan kita bercadang menambah kekerapan kepada 35 penerbangan seminggu tidak lama lagi bermula dengan laluan Johor Bahru-Kuala Terengganu ini.

"Kami juga yakin dengan peningkatan permintaan penumpang ke negeri ini sama ada bagi tujuan pelancongan atau perniagaan dan kerana itu mengambil inisiatif memperkenalkan laluan ini yang akan beroperasi tiga kali seminggu," katanya sebelum menandatangani perjanjian persetujuan (MoA) kerjasama antara AirAsia dan kerajaan Terengganu untuk mempromosikan pelancongan di negeri ini, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Perjanjian itu ditandatangani Aziz yang mewakili AirAsia manakala bagi pihak kerajaan negeri diwakili Setiausaha Kerajaan Terengganu, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail sambil disaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

FOTO Ghazali Kori

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mei 2017 @ 9:21 PM