GAMBAR hiasan
Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.m

apendy@hmetro.com.m

POLIS menahan sembilan suspek dalam serbuan di rumah di Taman Silibin Ria, Ipoh, 4 pagi hari ini dan merampas dadah heroin dianggar bernilai RM11,500.

Tangkapan terbabit membabitkan dua keluarga terdiri daripada empat lelaki dan lima wanita berusia 16 hingga 51 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak, Asisten Komisioner V R Ravi Chandran berkata, dalam serbuan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari JSJN Perak itu polis menemui lima bungkusan plastik mengandungi dadah dipercayai heroin seberat 460 gram.

"Pemeriksaan menemui dadah terbabit di dalam rumah berkenaan dan kesemua penghuni yang ada di kediaman itu ditahan bagi membantu siasatan.

"Tiga daripada yang ditahan itu turut mempunyai tiga rekod jenayah lampau," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, polis turut membuat sitaan kereta dan motosikal dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM17,000.

"Kesemua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mei 2017 @ 9:41 PM