ANGGOTA penguat kuasa SPAD dan polis menjalankan Op Serkap.
Mohd Hasbi Sidek


Hulu Selangor: “Laju lebih sikit je tuan,” itu antara alasan popular diberikan pemandu lori dan bas ekspres sejurus ditahan anggota Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) di Kilometer 400, Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Lembah Beringin di sini, petang semalam.

Salah seorang pemandu lori yang membawa muatan tin minuman berusia 34 tahun dikesan memandu 97 kilometer sejam (km/j) melebihi had yang ditetapkan di lebuh raya iaitu 80 km/j.

Ketika ditanya sama ada dia mengetahui had laju ditetapkan, pemandu lori itu mendakwa tidak perasan memandu melebihi had laju.

Dia yang membawa muatan tin dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur antara lapan pemandu kenderaan berat yang dikesan memandu melebihi had laju melalui Op Serkap bermula jam 3.30 petang semalam.

Pengarah Penguatkuasa Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata, pihaknya dengan kerjasama 18 polis trafik Bukit Aman bertindak menahan kenderaan yang melakukan kesalahan sebelum dibawa ke Plaza Tol Lembah Beringin untuk tindakan.

“SPAD mengeluarkan notis kepada dua bas dan enam lori yang didapati memandu melebihi had yang ditetapkan. Kelajuan maksimum bas adalah 90 km/j manakala lori pula 80 km/j di lebuh raya.

“Terdapat pemandu bas yang dikesan memandu sehingga 115 km/j dan ini akan mengundang risiko kemalangan lebih-lebih lagi mereka membawa nyawa pengguna lain,” katanya ketika sidang media sejurus operasi tamat jam 5.30 petang di plaza tol berkenaan.

Beliau berkata, pihak polis juga mengeluarkan saman terhadap 22 pemandu membabitkan kereta sebanyak 11 kes, van dua kes, bas dua kes dan tujuh kes membabitkan lori.

Menurut Che Hasni, pemandu bas ekspres sepatutnya lebih bertanggungjawab dengan mengikut had kelajuan ditetapkan kerana mereka membawa penumpang.

“Mereka memberikan alasan mahu cepat sampai ke destinasi namun dalam masa sama mengabaikan keselamatan penumpang. Situasi begini menyumbangkan kepada kemalangan yang mengorbankan banyak nyawa sebelum ini.

“Saya juga menasihati penumpang lebih berani menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat pemandu tidak mematuhi peraturan jalan raya.

“Semua lori dan bas yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 23 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mei 2017 @ 4:14 AM