ANTARA barangan yang dirampas. FOTO ihsan Polis
Mohd Hasbi Sidek dan Nabihah Kamal


DUA suspek samun premis makanan dengan bersenjatakan parang di Ampang Water Front, Ampang, Ahad lalu ditahan polis, kelmarin dan semalam.

Dalam kejadian 10.45 malam itu, suspek berusia 33 dan 36 tahun yang dipercayai bekas pekerja restoran itu masuk ke premis dan mengacukan parang kepada penjaga kaunter sebelum melarikan wang tunai RM500.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, suspek mengacukan parang ke arah pekerja wanita restoran makanan segera itu sebelum melarikan peti simpanan wang.

Berdasarkan laporan penolong pengurus premis makanan berkenaan, pihaknya menahan dua suspek itu di lokasi berasingan.

"Suspek pertama ditahan di kawasan Taman Dagang, Ampang Jaya, 8.20 pagi Selasa lalu manakala suspek kedua ditahan di kawasan Jalan Sungai Tekali, Pekan Batu 14, Ulu Langat, 11 pagi semalam.

"Suspek direman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mei 2017 @ 3:55 PM