ABDUL Razak (tengah) bersama Pengerusi Pasukan Bomba Sukarela, Yayasan Jariah Malaysia, Mahadzir Abdul Hamid (dua kiri) bersama pegawainya memotong kek sempena sambutan Hari Anggota Bomba Peringkat Negeri Kedah. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menasihatkan orang ramai supaya tidak mengunjungi kawasan peranginan air terjun atau sungai kerana bimbang berlakunya 'kepala air' ketika musim hujan ini.

Pengarahnya, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Abdul Razak Muda berkata, sebelum ini hanya ada satu kes berlaku di negeri di Titi Hayun, Yan yang menyebabkan mangsa dihanyutkan air.

Menurutnya, biasanya kepala air ni berlaku ketika hujan lebat dan orang ramai yang mandi tidak menyedari kehadiran 'kepala air' ni walaupun timbulnya banyak sampah sarap.

"Biasanya Mei selalunya berlaku kemarau tetapi sejak akhir-akhir ini cuaca tidak menentu bahkan ada negeri lain yang dilanda banjir namun kita nasihatkan pengunjung supaya berhati-hati ketika pergi berkelah di kawasan peranginan atau sungai terutama cuti pertengahan persekolahan ini.

"Buat masa ini kita akan beri tumpuan untuk melakukan pemantauan kepada kawasan sungai yang kerap berlakunya air deras terutama di Pendang, Jitra dan Padang Terap," katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia Peringkat Negeri Kedah di Ibu Pejabat Bomba Kedah, hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Razak berkata, tiga buah Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) iaitu di Pendang, Pokok Sena, Aman Jaya di Sungai Petani selain Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Kedah di Jalan Suka Menanti, di sini dijangka akan siap sepenuhnya tahun depan.

"BBP Amanjaya sudah siap 95 peratus, BBP Pokok Sena 10 peratus dan BBP Pendang pula baru memulakan projek iaitu tiga peratus manakala Ibu Pejabat JBPM Kedah pula masih 43 peratus.

"Selain itu kita juga bercadang untuk membina dua lagi BBP iaitu di Padang Mat Sirat di Langkawi dan Air Hitam yang akan menjadikan keseluruhanbalai bomba di Kedah 21 buah berbanding 16 buah yang ada sekarang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mei 2017 @ 5:27 PM