Akaun FB penipu yang menggunakan gambar Allahyarham Muhammad Adam Hamka dan meminta derma.
Nabihah Kamal


 "Berhenti sebarkan gambar arwah anak saya untuk minta duit. Saya kasihan kepada penderma yang ikhlas nak membantu tetapi mereka sebenarnya ditipu," kata Khairiyah Shamsudin, 40 dari Seremban, Negeri Sembilan.

  Khairiyah adalah ibu Allahyarham Muhammad Adam Hamka Norisam yang meninggal dunia di Hospital Cameron Highlands pada 17 Oktober 2016 ketika berusia dua tahun akibat penyakit sindrom Pfeiffer sejak lahir.

 Selepas kanak-kanak itu meninggal dunia, ada individu tidak bertanggungjawab yang mewujudkan akaun Facebook (FB) dengan menularkan gambar Adam Hamka, menggunakan nama kanak-kanak laun dan mendakwa kanak-kanak itu menghidap sakit jantung serta muntah darah sejak Ahad lalu untuk meminta derma.

 Khairiyah berkata, dia kesal dengan tindakan individu yang menggunakan gambar anaknya untuk meminta derma.

 "Selasa lalu, saya di beritahu saudara, ada orang gunakan gambar anak saya untuk minta derma. Sedih melihat status di FB mengenai gambar anak saya 'hidup' dan didakwa menghidap penyakit jantung.

 "Tergamak buat begitu demi mendapatkan duit dengan mudah," katanya.

 Menurutnya, dia sudah membuat laporan di Balai Polis Rantau, Seremban pada hari sama dia mengetahui perkara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mei 2017 @ 8:48 PM