SERAMAI lapan pegawai dan 17 anggota kini melakukan persiapan akhir di Innoshima, Jepun.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bakal menerima sebuah lagi kapal peronda pesisir pantai (OSV) dihadiahkan kerajaan Jepun akhir bulan ini.

Kapal KM Arau adalah kapal kedua diterima APMM selepas Kapal KM Pekan pada 14 Mac lalu.

Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Seri Ahmad Puzi Ab Kahar berkata, seramai 25 individu membabitkan lapan pegawai dan 17 anggota kini sedang melakukan persiapan akhir di Innoshima, Jepun bagi membawa pulang kapal berkenaan.

Beliau berkata, KM Arau ketika ini sedang menjalani persiapan akhir sebelum dibawa pulang akhir bulan ini.

“Semua kru kapal diketuai Pegawai Memerintah Kapal, Kepten Maritim Saiful Lizan Ibrahim terlebih dahulu diberi pendedahan pengendalian kapal secara komprehensif.

“Beberapa siri latihan laut turut dirangka Japan Coast Guard (JCG) bagi memastikan tahap kesediaan semua anggota yang terbabit dalam misi membawa pulang KM Arau berada dalam keadaan sedia sepenuhnya,” katanya.

Mohd Puzi berkata, hadiah dua kapal itu membuktikan hubungan dua hala akrab antara kerajaan Malaysia dan Jepun.

“KM Pekan dan KM Arau yang berusia 25 tahun itu sudah melalui pengubahsuaian termasuk penukaran cat, penggantian radar dan peralatan di anjung untuk menepati spesifikasi Malaysia.

“Semua kos perbelanjaan baik pulih ini ditanggung kerajaan Jepun dengan anggaran kos bagi kedua-dua OPV berjumlah RM28 juta,” katanya.

Kapal KM Arau dan KM Pekan sepanjang 90 meter itu berupaya menjalankan operasi dalam cuaca buruk.

Kapal berkenaan akan dikendalikan 39 anak kapal bagi melaksanakan operasi selain turut dilengkapi pelantar pendaratan helikopter.

Keterangan Gambar :

1)

2) ANAK Kapal KM Arau menjalani latihan laut bersama Japan Coast Guard (JCG) bagi memastikan tahap kesediaan semua anak kapal.

3) KEADAAN kapal KM Arau yang baru siap pengubahsuaian dan dijangka tiba di negara ini akhir bulan ini.

4) KAPAL KM Arau sepanjang 90 meter itu berupaya menjalankan operasi dalam cuaca buruk.

TAMAT

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mei 2017 @ 3:11 AM