Hazira Ahmad Zaidi


SELEPAS 43 hari berkayuh, warga emas Wan Hashim Wan Mahmood, 71, berjaya menamatkan kayuhannya sejauh 3,000 kilometer (km) mengelilingi Semenanjung Malaysia, Singapura dan selatan Thailand, hari ini.

Dia turut ditemani jurugambar sambilan BERNAMA Shahuri Awang, 31, sepanjang jelajah itu.

Kedua-duanya tiba Dataran Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN), Kubang Kerian sebelum diarak sejauh 6km hingga pekarangan Hotel Grand Riverview (GRV) oleh pengayuh basikal tempatan selain ahli Kelab Bomba Bikers dan 10 kereta Volkswagen klasik.

Wan Hashim yang diiktiraf The Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai pengayuh solo tertua, mengakui misinya kali ini mendapat sambutan luar biasa daripada masyarakat tempatan.

"Di setiap persinggahan kami, masyarakat tempatan sangat baik dan memberi sokongan kepada kami.

"Masalah utama yang kami hadapi adalah faktor cuaca yang tidak menentu, tetapi misi tetap diteruskan dengan penuh cekal, malah kami berkayuh sejauh 70 hingga 100 km sehari," katanya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Ketibaan Misi 3,000 km Pak Wan bersama Kelab Media Kelantan (KEMUDI) di Hotel GRV di Kota Bharu, hari ini.

Pengiktirafan MBOR sebagai Pengayuh Basikal Tertua Mengelilingi Semenanjung Malaysia disampaikan wakil MBOR Nurasyikin Ramli.

Turut sama menyambut ketibaan mereka adalah Pengarah Tourism Malaysia Negeri Kelantan, Hafiz Hazin dan Pengurus Besar Hotel GRV, Vincent Chua.

Sebelum ini, MBOR pernah mengiktiraf Wan Hashim selepas berjaya menamatkan kayuhan berbasikal secara solo mengelilingi Semenanjung Malaysia sejauh 2,200 km pada 28 Februari 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mei 2017 @ 12:46 PM