Siti Fatimah Hassan

Putrajaya: Tiada sebarang amaran atau makluman yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berhubung isu jangkitan coronavirus disebabkan oleh kelawar ke atas buah kurma dari negara Timur Tengah yang tular di media sosial.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkara itu disahkan selepas kementerian membuat semakan dengan WHO berikutan penyebaran maklumat berkenaan menerusi WhatsApp.

"Kementerian Kesihatan ingin merujuk kepada isu jangkitan coronavirus yang disebabkan oleh kelawar ke atas buah kurma dari negara Timur Tengah yang tular di media sosial.

"Kita sudah membuat semakan dengan WHO untuk mendapatkan maklumat sama ada terdapat sebarang amaran atau maklumat yang dikeluarkan oleh negara Timur Tengah atau negara lain. WHO memaklumkan buat masa ini tiada amaran berkaitan dikeluarkan oleh WHO mahupun Kementerian Kesihatan negara terbabit," katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan, di sini, tadi.

Berikutan itu, beliau meminta orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan maklumat kurang tepat yang boleh mengelirukan dan menimbulkan panik dalam kalangan masyarakat.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mei 2017 @ 6:18 PM