REMAJA 18 tahun ditemui lemas selepas gagal menyeberang sungai untuk berkelah bersama rakannya di Sungai Tersat, Kuala Berang, petang Sabtu.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud, berkata Muhammad Diya Uddin Saidi dari Kampung Sungai Derhaka, Kuala Terengganu, ditemui kira-kira 7 malam.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku, kira-kira 4 petang, apabila mangsa bersama 20 rakannya ke kawasan hulu sungai itu selepas menghadiri satu program di Kuala Berang.

"Remaja itu dikatakan tidak pandai berenang. Dia cuba ke seberang sungai. Tapi, tiba-tiba mangsa tenggelam di kawasan lubuk sungai," katanya.

Menurutnya, gerakan mencari dan menyelamat dijalankan sepasukan pegawai dan anggota polis dan ahli Bomba dan Penyelamy Malaysia.

Katanya, mereka turut dibantu penduduk kampung yang ke lokasi sebaik menerima laporan mengenai kejadian itu.

Katanya, mangsa ditemui oleh anggota Unit Skuba Bomba dan Penyelamat dan berjaya dibawa keluar dari sungai berkenaan, kira-kira 10 minit kemudian.

"Mayatnya selepas itu dibawa ke Hospital Hulu Terengganu,’ katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mei 2017 @ 1:01 AM