Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit. FOTO Ihsan bomba
Rubiah Nordin


LELAKI berusia 24 tahun maut manakala tiga cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 41.8 Jalan Ipoh-Kuala Kangsar dekat Kampung Karai, Sungai Siput, hari ini.

Dalam kejadian 8.15 pagi itu, pemandu Perodua Myvi, Mohd Farhan Razali, 24, dari Jalan Kati, Jamuan, Kuala Kangsar maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput Superintendan Abd Fattah Abd Rahman berkata, siasatan awal mendapati Perodua Myvi dari arah Ipoh itu hilang kawalan sehingga terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan bas Perak Transit.

Katanya, kemalangan itu menyebabkan mangsa tersepit di tempat duduk dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

"Rempuhan itu turut menyebabkan pemandu bas putus jari kelengkeng serta dua penumpangnya cedera. Mereka dibawa ke Hospital Sungai Siput untuk rawatan lanjut.

"Kemalangan menyebabkan Perodua Myvi dan bas mengalami kerosakan teruk di bahagian depan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mei 2017 @ 2:04 PM