KEADAAN Muhamad Aqil Adli yang menghidap kanser yang kini merebak ke mata.


Kulai: Jika remaja sebayanya gembira bersekolah namun malang buat Muhamad Aqil Adli Muhamad Zaki, 13, apabila terpaksa menghuni hospital akibat sakit kanser tulang.

Ibunya, Asmah Jamien, 45, berkata, anak keempat daripada lima beradik itu sudah menjalani rawatan kimoterapi 11 kali dan radioterapi 10 kali di Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini.

Katanya, penyakit itu bermula ketika Muhamad Aqil Adli mengadu sakit di bahagian paha selepas mendakwa terlanggar rakan ketika bermain bola sepak Jun tahun lalu.

“Dia beritahu sakit pada paha dan menyapu minyak urut pada bahagian itu. Namun bahagian yang sakit itu membengkak seminggu kemudian.

“Saya membawanya bertemu doktor. Selepas pemeriksaan, terdapat sel kanser pada bahagian paha Muhamad Aqil Adli yang sakit itu,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Putri, di sini, semalam.

Keadaan Muhamad Aqil Adli menjadi teruk apabila sel kanser merebak ke bawah rahang dan kini menyerang mata kiri menyebabkan penglihatannya kabur,” katanya.

Menurut Asmah, setiap tiga minggu sekali, dia dan suami, Mohd Zaki Mohd Nazam, 47, membawa Muhamad Aqil Adli mendapatkan rawatan di HSI.

Katanya, sesi kimoterapi diteruskan dan doktor bercadang menggantikan tulang paha anaknya dengan besi kerana bimbang sel kanser terus merebak ke bahagian lain.

“Kami dimaklumkan kos rawatan itu menelan belanja sehingga RM60,000 dan tarikh pembedahan bergantung kepada tahap kesihatannya.

“Setiap bulan saya memerlukan perbelanjaan sehingga RM700 untuk membeli keperluan Muhamad Aqil Adli seperti makanan dan lampin pakai buang. Susu khas pula dibekalkan hospital.

“Setakat ini, JKM memberi bantuan bulanan RM300 untuk anak saya,” katanya yang berniaga di kantin kilang dengan pendapatan RM1,500 sebulan.

Menurut Asmah, biarpun keadaan kesihatan Muhamad Aqil Adli tidak mengizinkan dia untuk belajar, semangat untuk menuntut ilmu tidak pernah luntur.

Katanya, Muhamad Aqil Adli tidak sempat mengambil Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lalu, tetapi berjaya memperoleh keputusan 3A 1C ketika peperiksaan percubaan.

“Muhamad Aqil Adli sentiasa bersemangat untuk belajar, malah pada awal tahun ini dia meminta bapa mendaftarkannya belajar tingkatan satu di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Putri serta mengambil buku sekolah.

“Biarpun berat badannya susut sehingga 23 kilogram, setiap malam dia akan meminta bapanya membacakan buku,” katanya.

Sesiapa yang mahu menyalurkan sumbangan boleh menghulurkan bantuan kepada Asmah Jamien
di akaun Bank Islam 01-117020051055.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mei 2017 @ 2:39 PM