Raja Noraina Raja Rahim


PEGUAM dan rakan wanita terlepas hukuman gantung apabila pertuduhan mengedar dadah terhadap mereka ditarik balik dan dipinda di Mahkamah Tinggi Seremban, hari ini.

Hakim Datuk Siti Mariam Othman memutuskan pertuduhan terhadap G Sivakumar, 51, ditarik balik selepas Jabatan Peguam Negara berpuas hati terhadap representasi yang dikemukakan pihak pembelaan.

Rakannya pula, P Sivagami, 39, dijatuhi hukuman penjara 12 tahun selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan memiliki kanabis seberat 939 gram dan mengedar methamphetamine seberat 8.44 gram di tempat letak kereta hadapan rumah di Taman Desa Seringin, Nilai, kira-kira jam 8 malam, pada 14 Oktober 2016.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan tidak kurang 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan mengedar, dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum lima tahun, serta sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hazeelia Muhammad manakala kedua-dua tertuduh diwakili Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mei 2017 @ 4:48 PM
Sivagami (kiri atas) dijatuhi hukuman penjara 12 tahun manakala Sivakumar (kanan bawah) dibebaskan. FOTO Hazreen Mohamad