Keadaan kereta Proton Satria yang terbabas dan melanggar tiang lampu di Jalan Kuantan-Pekan, Kampung Penor. - Foto IHSAN PEMBACA
BERNAMA

SEORANG pelajar kolej swasta maut manakala seorang lagi cedera parah selepas kereta mereka naiki terbabas dipercayai cuba mengelak haiwan yang melintas di Jalan Kuantan-Pekan berhampiran Kampung Penor, Kuantan, semalam.

Penumpang depan kenderaan itu, Muhamad Norfitri Norizan , 20, dari Kampung Sungai Melayu, Johor Bharu, meninggal dunia ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan dan Trafik Pahang Supt Mohd Noor Yusof Ali berkata dalam kejadian 3 pagi itu, pemandu kereta berkenaan, Mohamad Fitri Ilham Rahiman, 20, dari Pasir Gudang, Johor Bharu masih tidak sedarkan diri dan kini sedang dirawat di ICU, hospital berkenaan.

"Dua lagi rakan mereka, Ahmad Fariz Ar Azmi, 20, dari Skudai, Johor Bharu dan Haris Iskandar Hasim, 20, hanya cedera ringan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata kejadian berlaku ketika semua mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah sewa mereka di Pekan sebelum kereta Proton Satria dinaiki terbabas melanggar tiang lampu, dipercayai selepas Mohamad Fitri cuba mengelak seekor binatang yang melintas jalan.

Kesemua mangsa dikeluarkan orang ramai sebelum dikejarkan ke HTAA.

“Siasatan mendapati keadaan jalan gelap kerana tidak berlampu namun cuaca baik serta jalan kering," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mei 2017 @ 10:14 PM