Pegawai SPRM membawa bekas pembantu kerani untuk permohonan reman bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah di Mahkamah Majistret Putrajaya. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Mohd Husni Mohd Noor


BEKAS pembantu kerani di bahagian pemasaran dan jualan Putrajaya Holdings Sdn Bhd (PJH) ditahan reman selama lima hari oleh Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini, bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Suspek berusia 40 tahun itu disyaki meminta dan menerima rasuah dianggarkan berjumlah RM86,000 daripada beberapa firma guaman sebagai upah bagi memastikan mereka dilantik pihak bank untuk menguruskan penyediaan 'Loan Agreement' bagi pembelian hartanah di bawah PJH.

Sumber memaklumkan, suspek sudah meletak jawatan minggu lalu dipercayai untuk berurusan dengan pembeli yang berjaya mendapat tawaran pinjaman bank dan meminta wang rasuah.

Kes berkenaan disiasat mengikut seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mei 2017 @ 12:51 PM