Seekor gajah liar seberat 1.2 tan metrik dipindahkan ke habitat lebih selamat di Taman Negara.
Mohamed Sahidi Yusof
am@hmetro.com.my


Jeli: Seekor gajah liar yang ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) di Kampung Kuala Balah di sini Rabu lalu, dipindahkan ke habitat lebih selamat di Taman Negara, semalam.

Gajah jantan dianggarkan seberat 1.2 tan itu dipindahkan dengan bantuan 17 anggota dari PERHILITAN Jeli dan Pusat Konservasi Gajah Sungai Deka, Terengganu.

Timbalan Pengarah PERHILITAN Kelantan Kamsul Alias berkata, usaha memujuk gajah liar itu dilakukan dengan menggunakan dua gajah denak, Suria dan Aidil.

Katanya, operasi pemindahan itu berjalan lancar bermula dari jam 9 pagi dan berakhir jam 1 tengah hari.

“Gajah itu dipercayai merosakkan tanaman penduduk kampung Kuala Balah sebelum berjaya ditangkap pada pagi Rabu lalu.

“Berikutan itu, operasi pemindahan haiwan berkenan ke habitat lebih selamat ke kawasan berhampiran Taman Negara dijalankan hari ini (semalam),” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, operasi pemindahan gajah itu membabitkan kos dianggarkan antara RM40,000 hingga RM50,000.

“Ini kejayaan kali kedua operasi pemindahan gajah liar di Kampung Kuala Balah selepas operasi pertama dijalankan kira-kira sebulan lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mei 2017 @ 1:50 AM