Dzulkifli
Dzulkifli
Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail

Kuala Lumpur: Biarpun berdepan dengan pelbagai cabaran, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya mencapai sasaran ditetapkan dengan menahan sekurang-kurangnya satu pesalah rasuah dan melakukan pendakwaan di mahkamah khas rasuah setiap minggu.

Berdasarkan statistik SPRM, 347 individu ditangkap membabitkan 169 penjawat awam dan 178 orang awam sejak Januari hingga April lalu.

Daripada jumlah itu, 11 individu adalah pengurusan tertinggi dalam organisasi kerajaan dan 67 individu dari sektor swasta.

Malah sehingga April lalu, 59 individu sudah didakwa di mahkamah membabitkan 24 penjawat awam, 28 orang awam, lima sektor swasta dan dua badan berkanun.

Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad berkata, SPRM mengambil pendekatan agresif membanteras rasuah dengan menjalankan operasi penguatkuasaan dan menahan suspek sejak dia dilantik memegang jawatan itu Ogos lalu.

Malah menurutnya, beliau berjanji kepada rakyat Malaysia akan memastikan tangkapan dan kes pendakwaan oleh SPRM dilakukan setiap minggu.

“Kami bersyukur kerana ia bukan sahaja menepati sasaran SPRM walaupun wujud banyak cabarannya,” katanya ketika menyampaikan ucaptama di perasmian forum Agensi Anti Rasuah (ACA) ke-8 di sini, semalam.

Hadir sama, Pesuruhjaya Suruhanjaya Anti Rasuah dan Hak Manusia Korea, Park Gaeok.

Forum yang bertemakan Peranan Masyarakat ke arah Membanteras Rasuah dan Membina Integriti itu dihadiri 50 peserta dan pemerhati dari enam agensi negara anggota bagi menggalakkan kerjasama antara agensi pencegahan rasuah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mei 2017 @ 3:43 AM