KEADAAN dua kereta yang bertembung di KM 18.5 Jalan Ipoh-Lumut dekat Batu Gajah.
KEADAAN dua kereta yang bertembung di KM 18.5 Jalan Ipoh-Lumut dekat Batu Gajah.
myMetro

Batu Gajah: Dua pemandu parah selepas kenderaan dinaiki bertembung dalam di Kilometer 18.5 Jalan Ipoh-Lumut, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 10 malam itu, mangsa yang parah adalah Fadzil Mohd Lazim, 55, berasal dari Gelung Pepuyu, Bota dan seorang lagi wanita, Hairani Maksam, 48, berasal dari Taman Klebang Ria, Ipoh.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Mohd Nasri Omar berkata, kemalangan itu membabitkan kereta dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV).

“Siasatan awal mendapati MPV yang dipandu wanita berkenaan dari Seri Iskandar menuju ke Ipoh dan sebaik tiba dilokasi secara tiba-tiba sebuah kereta dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.

“Wanita berkenaan tidak sempat mengelak lalu kedua-dua kenderaan itu bertembung dan akibat rempuhan itu, MPV terbabit melintang di tengah jalan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, akibat kemalangan itu kedua-dua pemandu parah dan dihantar ke Hospital Batu Gajah untuk rawatan, manakala kenderaan yang terbabit mengalami kerosakan remuk di bahagian depan.

“Kedua-dua kenderaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah dan sampel urin serta darah kedua-dua pemandu juga akan diambil bagi membantu kes yang disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mei 2017 @ 4:06 AM