ANTARA kawasan yang dinaiki air. FOTO ihsan Bomba
Nurul Hidayah Bahaudin


BEBERAPA lokasi sekitar di Selangor dan Kuala Lumpur dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat sejak 4 petang, hari ini.

Jurucakap Bomba Selangor berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian banjir kilat di beberapa lokasi Gombak dan Hulu Langat.

"Banjir kilat di Bukit Dukung menyebabkan enam kediaman di kawasan itu dinaiki air. Selain itu, beberapa kawasan iaitu Batu 14 dan Batu 13 Sungai Jernih, Kajang turut dinaiki air.

"Di Gombak pula, laluan masuk ke Kampung Kerdas dinaiki air berikutan banjir kilat. Bagaimanapun, tiada mangsa dipindahkan setakat ini berikutan air semakin surut," katanya.

Sementara itu, banjir kilat turut mengakibatkan laluan di hadapan wad kecemasan Hopital Kuala Lumpur (HKL) dinaiki air.

Masalah itu dipercayai berpunca daripada longkang yang tersumbat menyebabkan limpahan air hujan memasuki laluan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mei 2017 @ 9:47 PM